Assalamualaikum.
Sebelum tahun 2021, Kehadiran April biasanya menghadirkan kegembiraan buat saya dan keluarga. Ini adalah bulan kelahiran dua insan tersayang dalam keluarga kami, Ayah dan Mak.
Namun pada April 2021, atau tarikh yang lebih tepat 7 April 2021, Mak telah kembali ke Rahmatullah. Kehilangan yang tak pernah terduga. Saya masih ingat 3 April, sehari selepas menyambut ulangtahun kelahiran Ayah, saya buat satu keputusan yang sukar bilamana saya telefon Ambulans untuk bawa Mak ke hospital. Niat dan tujuan saya supaya Mak dapat rawatan di hospital dan perkara seperti tahun 2017 tidak berulang. Hati saya tidak sedap. Apatah lagi sebelum itu saya kerap bermimpi saya ke hospital tetapi tidak tahu saya mencari siapa. Mungkin Allah telah berikan saya petanda, cuma saya yang tidak sedar.
Situasi, keadaan di mana doktor meminta saya untuk ke hospital pada jam 7.30 malam, dan ketika saya berada di luar wad tingkat 7, doktor memberitahu Mak sudah tiada, tidak akan saya lupakan. Selalu saya berkata dalam hati sejak ketiadaan Mak, "di mana silap aku?".
Setahun berlalu. Saya telah Reda. Ikhlas hati ini merelakan pemergian Mak. Kekesalan terbesar adalah mulut ini tidak sempat meminta agar dimaafkan segala kesilapan yang saya lakukan pada Mak. Rasa kesal itu tidak pernah hilang, dan mungkin tidak akan hilang.
"Ya Allah, berikanlah keampunan bagi emak Kami, lapangkanlah alam kuburnya, jadikan kuburnya salah satu dari Taman-taman Syurga, Berikanlah keampunan yang menyeluruh untuk dia, Limpahkanlah Rahmat kepadanya, Sejahterakanlah dia, Maafkanlah dia, Muliakan kedudukannya, luaskan tempat tinggalnya, masukkan dia ke dalam Syurga."
ILLF - Rindu.