Sejahtera.
SEGALA puji bagi ALLAH SWT yang menganjurkan hamba-Nya makan daripada sumber rezeki yang halal dan menjauhi yang haram. Sebagaimana firman ALLAH yang bermaksud:
"Wahai orang yang beriman! Makanlah daripada benda-benda yang baik (halal) yang Kami berikan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada ALLAH, jika betul kamu hanya beribadat kepada-Nya." (Surah Al-Baqarah: 172)
Sesudah menyebutkan ayat al-Qurandi atas, Nabi Muhammad SAW menyebut perihal seorang lelaki yangjauh bermusafir, rambutnya kusut dan badannya berdebu, dia mengangkat kedua tangannya ke langit seraya berkata:
"Wahai Tuhanku, wahai Tuhanku; sedangkan makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya haram, dan sumber hartanya daripada yang haram, bagaimana mungkin doanya diperkenankan." (Riwayat Muslim)
Makan minum halal
Ketahuilah baiknya sumber makan minum seseorang itu akan memberi kesan yang besar atas kesejahteraannya, kehidupan jiwanya, cahaya mata hatinya dan termakbul doanya.
Begitu juga buruknya makan minum seseorang itu akan memberi kesan yang tidak baik kepadanya. Jika keburukan itu hanya tertumpu pada tertolak doanya itu pun sudah cukup buruk.
Ternyata manusia tidak boleh berdiri sendiri tanpa bergantung kepada ALLAH walau sesaat.Sesuatu makanan itu menjadi haram sama ada kerana buruknya makanan itu sebagaimana bangkai, darah dan daging khinzir, atau ia haram kerana hak ALLAH dan hak manusia. Sebagaimana makan minum yang diambil hasil daripada sumber riba, judi, mencuri, menipu dalam jual beli atau pekerjaan, dan hasil yang diambil dengan cara rasuah serta khianat terhadap amanah yang diberi.
Hakikatnya ALLAH memberi kecukupan dalam apa yang dihalalkan-Nya. Tidaklah Dia mengharamkan sesuatu yang buruk melainkan sesudah menghalalkan apa yang lebih baik dan jauh lebih banyak daripadanya.Sesungguhnya apa yang ditekankan Islam dalam makan minum adalah sama sebagaimana dalam urusan lain.
Ditekankan aspek keselamatan rohani, jasmani dan akal dengan menghalalkan apa yang baik buat tubuh badan dan akal fikiran di samping diharamkan apa yang memudaratkan tubuh badan serta akal.
Maka ALLAH memerintahkan hamba-Nya memakan daripada sumber yangbaik yang dikurniakan-Nya dan bersyukur terhadap-Nya.Mensyukuri nikmatMensyukuri nikmat adalah memperakuinya dengan hati bahawasanya ia adalah kurniaan ALLAH semata-mata, menyebut-nyebut mengenainya dengan lisan dan menggunakannya dalam hal-hal ketaatan.Dengan bersyukur, kita akan dapat menumpaskan kedua sifat sombong dan kufur nikmat. Dan nikmat yang disyukuri itu akan menjadi asas kebahagiaan hidup yang membantu kita untuk melaksanakan ketaatan kepada ALLAH.
Berbeza pula jika kita tidak mensyukuri nikmat yang ALLAH kurniakan kepada kita. Nikmat itu akan bertukar menjadi musibah sehingga melayakkan kita mendapat kehancuran dan malapetaka.Firman ALLAH SWT:
"Adakah mereka menyangka apa yang Kami berikan kepada mereka daripada harta bendadan anak-pinak itu. (Bermakna dengan demikian) Kami menyegerakan untuk mereka pemberian kebaikan? (Tidak!) bahkan mereka tidak menyedari (hakikat yang sebenar)." (Surah Al-Mu’minuun: 55-56)
ALLAH menginginkan supaya hamba-Nya menjauhkan diri mereka daripada makan minum yang tidak baik. Kerana makanan yang tidak baik akan memberi kesan tidak baik terhadap jiwa dan tingkah laku di samping menjadi benteng penghalang antara si hamba dengan ALLAH sehingga menyebabkan doa tidak mustajab.
Jaga halal haram
Rasulullah SAW diutuskan ALLAH untuk menjelaskan kepada manusia akan segala yang perlu mereka tahu perihal yang halal dan haram.Dalam sebuah hadis diriwayatkan oleh Al-Nu’man bin Basyir RA, Nabi Muhammad SAW bersabda:
"Sesungguhnya yang halal jelas, yang haram juga jelas, dan di antara keduanya terdapat hal-hal samar-samar yang tidak diketahui oleh ramai orang; maka sesiapa yang memelihara dirinya daripada perkara syubhah, dia telah memelihara agama dan maruahnya. Dan sesiapa mendatangi perkara syubhah, dia telah jatuh dalam apa yang haram. Umpama penggembala yang memelihara haiwan gembalanya berhampiran kawasan larangan, dikhuatiri haiwannya akan masuk ke dalam kawasan larangan tersebut. Sesungguhnya setiap seorang raja mempunyai perkara yang dilarangnya. Dan bagi ALLAH, apa yang dilarang-Nya adalah perkara yang diharamkan-Nya. Sesungguhnya dalam tubuh badan setiap seorang manusia terdapat segumpal daging, jika ia baik maka baiklah seluruh tubuh badannya dan jika ia buruk maka akan buruklah seluruh tubuh badannya; sesungguhnya ia adalah hati (jantung)." (Riwayat Bukhari & Muslim)
Maksudnya di sini, apa yang benar-benar halal sudah jelas bagi kita tanpa ragu seperti mana makanan dan minuman yang baik-baik. Begitu juga apa yang benar-benar haram adalah jelas bagi kita tanpa ragu sebagaimana makanan dan minuman yang buruk di samping sumber-sumber pendapatan yang tidak halal.
Jauhi perkara syubhah
Antara kedua perkara halal dan haram ini terdapat perkara samar-samar yang tidak diketahui oleh ramai orang sama ada ia halal atau tidak. Adapun mereka yang berilmu, perkara ini jelas bagi mereka halal atau tidak.Apa pun bagi seorang Muslim, dia akan mengambil yang halal dan meninggalkan yang haram di samping menangguhkan dahulu perkara yang syubhah sehingga ia menjadi jelas baginya demi menjaga agama dan maruahnya.Ini kerana mendekati perkara syubhah lambat laun akan menjerumuskan orangnya ke dalam perkara yang haram secara beransur-ansur. Bagi mereka yang mengambil mudah dosa-dosa kecil dikhuatiri mereka akhirnya akan bergelumang dalam dosa-dosa besar.Dalam hadis di atas terdapat petunjuk jelas perihal bahaya perkarayang haram daripada dua sudut:
Sudut pertama:
Perintah Nabi Muhammad SAW supaya meninggalkan perkara syubhah bagi mengelak daripada terjerumus ke dalam perkara yang haram.
Sudut kedua:
Penjelasan Baginda SAW bahawasanya perkara haram adalah kawasan larangan ALLAH yang mana manusia dilarang daripada mendekatinya.
Aisyah menceritakan, pada suatu masa Abu Bakar RA memiliki seoranghamba yang bekerja untuknya dan Abu Bakar memakan daripada hasil kerja si hamba tersebut.
Pada suatu hari si hamba itu membawa satu makanan lalu dijamah oleh Abu Bakar. Setelah itu si hamba itu berkata: "Tahukah kamu apa ini?" Jawab Abu Bakar: "Apakah ia?"Kata si hamba: "Pada zaman jahiliah aku telah menilik nasib seorang lelakisedangkan aku tidak mahir menilik nasib tetapi aku berjaya menipu si lelaki tersebut. Ketika aku menemui lelaki tersebut dia memberi kepadakuapa yang engkau makan tadi." Mendengar kata si hamba itu, Abu Bakar RA memasukkan tangannya dalam kerongkongnya dan memuntahkan segala isi perutnya. (Riwayat Bukhari)
Berbeza pula keadaan manusia pada akhir zaman di mana Nabi SAW bersabda:
"Akan tiba buat manusia suatu zaman di mana seseorang itu tidak peduli sama dia ambil daripada yang halal atau dia mengambil daripada yang haram." (Riwayat Bukhari)
Wajar kita beringat hasil dan sumber yang haram adalah suatu keburukan dan malapetaka yang akan mendatangkan musibah kepada kita di dunia dan akhirat apabila makan minum yang haram itu sudah menjadi sebahagian daripada darah daging kita.Hendaklah kita ingat akan hari di mana kita menghadap ALLAH di kala tidak akan berguna segala harta kekayaan mahupun anak pinak kita. Kecuali mereka yang menghadap ALLAH dengan jiwa yang bersih selamat
Artikel asal dipetik dari SinarHarian Online oleh
USTAZ IDRIS SULAIMAN
Ahli Majlis Syura Pertubuhan Ilmuwan Malaysia