*Cerpen ini turut saya siarkan dalam "kumpulan certot Putih" di Wattpad*
Mimpi
Sejak akhir-akhir ini saya selalu bermimpi yang mana saya seperti berada di suatu tempat yang pernah saya kunjungi walaupun tempat itu telah lebih lapan tahun tidak saya lawati.
Di dalam mimpi saya itu, saya selalu bertemu dengan orang yang telah lama tidak saya temui. Kawan-kawan yang suatu masa dahulu pernah menjadi teman setia ketika saya berada di situ.
Biasanya di dalam mimpi saya itu, suasananya agak suram, biasanya hujan. Ada ketikanya saya akan berbual mesra dengan rakan-rakan dan ada ketikanya saya bersendirian berjalan-jalan tanpa tujuan tetapi seperti mencari seseorang.
Ironinya, semua yang berlaku di dalam mimpi saya tidak pernah saya lalui sebelum ini. Beberapa hari lalu, saya bermimpi datang ke tempat itu lengkap berpakaian kemeja lengan panjang dan bertali leher. Saya menemui seorang rakan lama. Saya masih ingat suatu ketika dahulu rakan lama ini merupakan teman paling rapat saya di tempat itu. Di dalam mimpi saya itu, rakan lama saya itu membawa saya ke suatu bilik. Ya, itu adalah bilik kami dahulu. Dia bercerita tentang kehidupannya, apa yang telah berlaku selama ini. Perbualan kami sangat bermakna sehingga saya dapat merasakan detik kesedihan di dalam mimpi tersebut.
Saya fikir kerana suatu tempoh masa yang sangat panjang sejak saya tidak menemui rakan lama tersebut maka terjadilah mimpi-mimpi yang sebenarnya mungkin ingin memberikan petanda yang saya kerinduan padanya.
Saya mempunyai satu kekesalan. Ianya suatu kekesalan yang tidak dapat saya ubah walaupun di dalam mimpi. Saya pernah menyukai seorang gadis yang tidak pernah saya luahkan akan perasaan saya padanya. Mungkin pada ketika itu dia sudah mempunyai seorang teman istimewa. Di dalam mimpi, saya pernah memberitahu kepada rakan lama saya itu yang saya menyukai seorang gadis.
Biasanya rakan lama saya akan tersenyum dan memberitahu kepada saya agar segera meluahkan perasaan saya itu. Dia menyuruh saya mencari gadis itu. Ketika saya bersendirian di dalam mimpi di tempat itu, saya berusaha mencari gadis tersebut. Namun saya tidak pernah menemui dia. Ya tidak pernah.
Saya kesal kerana dahulu sebelum saya meninggalkan tempat itu, saya tidak berpeluang mengucapkan selamat tinggal pada gadis tersebut, malah saya juga tidak bertemu dengannya. Seingat saya, semua rakan-rakan lama saya telah saya temui di dalam mimpi saya, cuma gadis itu yang belum saya temui.
Dalam realiti kehidupan, saya telah berhasil menemui gadis tersebut. Cuma saya tidak ada keberanian untuk berjumpa empat mata dengannya atau pun mengucapkan "hai, ingat saya lagi?". Perkara sebegitu saya harap dapat saya lakukan di dalam mimpi saya namun, sehingga kini juga tidak berlaku.