Sejahtera.
Setakat post ini ditulis, kontinjen negara telah berjaya meraih 2 pingat Perak dan 1 Gangsa di temasya Olimpik Rio, Brazil 2016. Pencapaian yang mengatasi mana-mana temasya Olimpik yang pernah Malaysia sertai. Tahniah dan Syabas!
Semalam, pasangan beregu campuran badminton negara, Chan Peng Soon & Goh Liu Ying mencipta sejarah baharu. Meraih Perak. Suatu pencapaian yang belum pernah direkodkan oleh mana-mana pemain badminton beregu campuran negara di pentas Olimpik sebelum ini.
Apa yang menarik perhatian saya adalah reaksi yang diberikan "netizen" terhadap Headline (tajuk berita) sebuah akhbar berbahasa Melayu yang memilih perkataan "Sekadar" dalam tajuk laporannya.
Saya fikir, perkataan "sekadar" adalah kurang tepat untuk memberikan gambaran pencapaian yang diraih mereka di Olimpik.
Untuk Atlet yang layak ke Olimpik ianya suatu Kebanggaan buat mereka. Pentas Olimpik tidak memberikan "tiket free" untuk bertanding. Ada standard tertentu perlu dicapai untuk melepasi had kelayakkan bertanding di Olimpik. Dan semua atlet akan sedaya upaya layak untuk meraih gelaran "Olimpian". Lihat saja bagaimana suatu ketika bila skuad Bolasepak kita mara ke Olimpik, ianya sesuatu yang sangat membanggakan dan terus dikenang.
Seterusnya, masyarakat dan para penulis sukan juga perlu sedar bahawa meraih pingat (medal) di Olimpik walau apa jua warnanya adalah suatu "Kejayaan". Ianya adalah pencapaian yang akan dikenang oleh Atlet itu sendiri sepanjang hayatnya. Kerana itulah bila kita pulang dengan tangan kosong pada temasya Olimpik Sidney 2000 dan Athens 2004 ia dilihat sebagai kegagalan. Dan bilamana Pandalela meraih gangsa pada London 2012 ia dilihat sebagai Kejayaan. Kenapa? Kerana sebutir pingat di Olimpik memberi makna yang sangat besar dan gambaran prestasi sukan semasa negara dalam jenis sukan tertentu khasnya.
Dengan segala penat lelah atlet dan perbelanjaan yang besar, meraih Pingat di Olimpik adalah suatu Kejayaan dan bukan boleh dikatakan sebagai "Sekadar".
Meraih Emas di Olimpik adalah suatu "Kegemilangan". Ianya akan menjadi kejayaan yang dikenang sepanjang hayat. Sebutir pingat Emas di Olimpik adalah Kegemilangan yang mungkin hanya datang sekali seumur hidup. Lihat bagaimana seluruh negara ketika Olimpik Atlanta 1996 menanti penuh debar bilamana pasangan beregu Cheah Son Kit / Yap Kim Hock beraksi di final menentang seteru utama dari Indonesia (Rexy & Ricky). Itu adalah gambaran betapa Emas Olimpik adalah suatu bentuk Kegemilangan yang mahu dicapai oleh setiap atlet yg bertanding di Olimpik.
Setiap Atlet yang layak bertanding di Olimpik harus memasang tekad dan berani mengatakan bahawa "Saya mahu menang Pingat Olimpik". Namun jika gagal meraih Pingat, atlet itu sendiri tetap perlu berbangga kerana sudah memahat nama selaku Olimpian.
Oleh itu, apabila kita menulis laporan berita sukan atau hanya memuat naik status di facebook atau tweet di Twitter, janganlah kita terlalu bersikap skeptikal. Perkataan "Sekadar" yang digunakan dalam laporan sukan akhbar tersebut jujurnya seolah bersifat "Tidak Menghargai".
Akhir kata, saya menyeru kita membaca, membaca, dan membaca sebelum menulis agar kita dapat mengeluarkan setiap perkataan dalam penulisan kita itu sesuatu yang mempunyai nilai "positif" lebih² lagi berkait dengan pencapaian meraih Pingat oleh atlet negara di sukan Olimpik!
*illifadli - Pembaca tegar laporan sukan di suratkhabar*