Sebenarnya saya dah lama memasang niat untuk menggunakan sebuah peranti dari Apple. Ya ar, bila sebut jenama ini ianya boleh dikatakan sebagai suatu jenama yang Premium, Bangsawan, Flagship yang berada pada kelasnya tersendiri.
Maka pada November 2020, secara senyap-senyap saya telah membeli iPhone pertama saya. iPhone 12 Mini dengan warna yang baru iaitu Biru. Aduhai, terpengaruh dengan pujuk rayu kononnya warna Biru ini cantik, saya pun memilih warna ini walhal jujur ya, jujur saya kata anda jangan beli warna ini - Tak cantik kot. Warna Hijau atau Product Red lebih menawan.
Saya memilih varian 128gb (konon sebab nak pakai lama sikit) yang berharga rm3599. Haha. Harga lagi mahal dari sebuah laptop jenama tertentu. (Tak ada pengecas dalam kotak pulak tu)
Kenapa iPhone 12 Mini? Pertama saiznya. Saya suka pada saiznya yang kompak. 5.4 inci saiz skrinnya cukup selesa untuk mata saya. Malah dengan saiz yang kompak, sebagaimana ramai orang cakap, saya harus bersetuju ia lebih mudah berada dalam poket seluar. Tapi awas! Ia juga mudah tercicir! Kedua, untuk saya yang pertama kali menggunakan iPhone, rasanya jimat sikit kot jika saya membeli model iPhone yang 'termurah' dalam barisan siri iPhone 12 kali ini. Bukan apa, selepas membuat perbandingan di laman rasmi Apple, saya rasa tak banyak beza antara model 12 Mini dan 12 yang biasa (kecuali size screen dan kapasiti bateri). iPhone 12 Pro? Itu luar dari kemampuan.
Apapun kali pertama menggunakan iPhone, sudah pasti teruja. Sistem operasi ios yang dicanang sebagai antara yang terbaik pada hemat saya (sebagai pengguna android tegar) mudah untuk digunakan. Cuma sedikit kecewa kerana kadar segar semula iPhone 12 Mini ini hanya 60hz, maka tak berdesup laju bila jari jemari mencalit calit skrin telefon. Gitu.
Ok saya tak mahu menulis panjang lebar maka saya akan beritahu 3 perkara yang saya tak suka dengan iPhone 12 Mini ini. Anda mungkin setuju dan mungkin tidak.
1. Paparan skrin.- Pada mata saya, paparannya agak warm, ke arah kekuningan - yellowish tidak Vivid dan Super Terang. Saya tak pasti kenapa paparan Oled pada iPhone 12 Mini ini ditala sebegitu tapi saya tak berapa suka. Saya lihat di Youtube memang ada pengguna iPhone 12 Mini yang mengalami masalah sama. Hmm. Mungkin ketika malam paparan sebegini sesuai untuk mata.
2. Speaker. - Bunyinya tak macam sebuah peranti berharga rm3599. Ya saya tahu saiznya kompak maka ada bahagian yang harus dikecilkan tetapi Apple seharusnya memberikan pengalaman bunyi yang lebih baik. Jujur, bunyi dari iPhone 12 Mini ini tak berapa menarik, malah boleh saya katakan ada peranti Midrange Android yang sebegini bunyinya. Huhh!
3. Back Panel. Ya Panel belakangnya adalah kaca yang jenis berkilau - glossy dan memerangkap cap jari. Guna Casing setel semuanya. Tapi yang buat saya sedikit kecewa bilamana back panel pada iPhone 12 Mini saya ini telah mendapat calarnya yang pertama hanya setelah seminggu digunakan! Haha. Menyakitkan hati bila lihat calar itu tahu tak. Saya tak pasti kekuatan kaca yang bagaimana digunakan oleh Apple untuk model 12 Mini ini. Mungkin saya perlu tonton video youtube Jerry Rid Everything kot.
Bagaimana dengan kamera? Sebagai individu yang pernah menggunakan Google Pixel 3, saya fikir kualiti gambarnya berada 50% lebih baik berbanding dengan Pixel 3 itu (wei Pixel 3 dah lama tahu) - kerana iPhone 12 Mini ini ada lensa Ultrawide (sudut lebar). Kualiti rakaman videonya pula, memang saya suka!
A14 Bionic berkuasa? Haha. Jujur sebab saya tak gunakan iPhone 12 Mini ini untuk bermain game maka saya tak merasai sangat kuasa cipset tersebut. Tapi dari segi power efisien, ya, walaupun bateri iphone 12 Mini ini (2227 mAh) kecil tetapi ia memberikan masa penggunaan yang memuaskan mengikut tabiat penggunaan saya.
Kesimpulannya, jujur saya katakan iPhone bukanlah untuk saya. Sebagai individu yang mahukan sesuatu yang berbeza saya tak menikmatinya bersama iPhone 12 Mini ini. Mungkin akan ada orang cakap "belilah yang Pro Max baru dapat rasa". Haha. Siri 12 Pro Max pun masih 60hz saja kadar segar semula kan?
Saya bukan sejenis yang beli telefon untuk status atau kerana taraf elit jenama itu. Saya sejenis yang mahukan peranti yang punya nilai yang sesuai dengan wang yang dibelanjakan. Ya, iPhone 12 Mini ini bukan untuk saya, mungkin saya akan jual iPhone ini. Ah mgenangkan calar halus tu, mungkin harga jualan yg akan saya letak buat orang lain tersenyum.
Terima kasih kerana sudi membaca!
ILLF - 5G