Pengenalan

Peace Be Upon You...In The Name of Allah, Most Gracious Most Merciful.

Rabu, November 11, 2015

Diskriminasi Bahasa

Sejahtera.

Biasanya kita mendengar diskriminasi terhadap gender, warna kulit dan agama (kepercayaan). Namun dalam konteks semasa khususnya di Malaysia, terlihat sejak kebelakangan ini wujud diskriminasi terhadap bahasa. Kita melihat bagaimana pada hari ini semua orang memberikan fokus dan tumpuan bahawa untuk mencari dan mendapatkan ilmu harus menguasai bahasa inggeris. Ada benarnya pendapat ini. Namun begitu kita tidak harus mengenepikan penggunaan bahasa kebangsaan iaitu Bahasa Melayu. Dalam entry ini saya tidak mahu menyentuh soal polemik Bahasa Melayu dalam sistem pendidikan.

Isu yang ingin saya bangkitkan ialah mengapa kita harus mendiskriminasi seseorang individu yang tidak mahir berkomunikasi dalam bahasa inggeris? Bagaimana hal ini berlaku? Seringkali kita mendengar bahawa terdapat ramai graduan yang gagal mendapatkan pekerjaan (berdasarkan kelayakkan akademik mereka) kerana tidak menguasai bahasa inggeris. Soalnya mengapa hanya kerana kelemahan mereka ini, maka mereka dinafikan hak untuk mendapat peluang kerja yang setaraf kelayakkan mereka? Bukankah mereka harus diberi peluang kemudian disusuli dengan latihan berterusan (ketika bekerja hasil inisiatif sendiri atau majikan) kelak akan menjadikan mereka ini golongan pekerja yang mahir dalam berbahasa inggeris. Amat malang pemikiran sekelompok golongan yang mendewakan bahasa inggeris sehingga memandang rendah nilai bahasa melayu itu sendiri. Bagi mereka kegagalan menguasai Bahasa Inggeris hanya akan menjadikan graduan ini hilang nilai di pasaran kerja. Saya fikir ini adalah diskriminasi yang paling berleluasa sedang berlaku. Ya anda boleh berbangga dengan penguasaan bahasa inggeris anda setaraf orang Amerika atau British tetapi anda tidak harus memperlekeh mereka yang menjadi penutur dan pengguna tegar bahasa melayu. Jika anda seorang majikan berikan mereka ini peluang. Logiknya jika graduan ini mampu menamatkan pengajian di universiti beerti mereka ialah golongan yang boleh menerima ilmu. Mereka boleh terus belajar menguasai bahasa inggeris tetapi jangan terus menghukum mereka kerana kelemahan pada aspek penggunaan bahasa. Jujurnya saya sendiri tidak menghormati Rakyat Malaysia yang tidak boleh bertutur dalam Bahasa Melayu sedangkan mereka menyanjung tinggi bahasa ibunda mereka sendiri. Bukankah ini double standard? Saya rasis? Tepuk dada tanya diri. Akhir sekali saya ingin lontarkan satu persoalan. Warga Bangladesh yang datang ke Malaysia berusaha mempelajari bahasa melayu kerana mereka tahu jika mereka boleh bertutur dalam bahasa ini maka mereka boleh cari makan di negara ini. Jadi di mana tempat anda?

*ILLF- Buka kamus*