Pengenalan

Peace Be Upon You...In The Name of Allah, Most Gracious Most Merciful.

Selasa, Mac 15, 2016

Cerpen

Sejahtera.

Cerpen "Aku Bukan Pengemis" disiarkan kali pertama di akhbar Sinar Harian (Ahad) March 2016

Aku Bukan Pengemis


Aku menyeluk kocek seluar yang tiada apa-apa melainkan habuk kain sahaja. Niatku untuk memberi sedekah kepada si pengemis di jalanan itu terbantut lagi. Setiap hari semenjak dua minggu lepas perkara serupa akan berulang seakan dejavu. Bila sahaja dihadapan pengemis yang duduk bersila itu, pasti poket seluar ini tidak mempunyai wang kertas mahupun syiling. Aku bertanya pada diri sendiri, "Entah bila masanya mampu bersedekah". Langkah kaki dilanjutkan lagi tanpa tujuan bersama-sama kelompok manusia yang sentiasa mengejar waktu. Bagi mereka masa itu ibarat emas harus dikejar dan diburu walau dengan apa cara sekalipun sedangkan aku pula hanya membiarkan masa melayang pergi sepertimana daun-daun kering ditiup angin.
Laluan pejalan kaki Pasar Seni tidak pernah sunyi daripada keriuhan manusia. Disini aku melihat pelbagai ragam manusia. Seringkali bila melihat manusia yang berpakaian kemeja lengan panjang bertali leher dan berseluar slack kekaguman menyelubungi diri ini. Perasaan yang memberikan keterujaan yang disusuli dengan kuntuman senyuman seperti seorang anak kecil yang kali pertama melihat pelangi di langit. Aku terfikir entah bila masanya diri ini mampu berpakaian seperti mana mereka. Kemas, wangi dan kelihatan sangat berkeyakinan. Aku melihat diri sendiri di luar cermin kedai jam tangan berjenama, kelihatan diri sendiri  yang sebenarnya tidaklah terlalu selekeh, bahkan tidak juga terlalu kemas; seluar jeans yang sudah tidak kelihatan biru dan jaket denim hitam yang lusuh. Niat yang dipasak utuh dalam hati untuk membeli pakaian baharu seringkali terbantut dek kerana duit yang tidak pernah mencukupi. Pernah sekali aku masuk ke dalam sebuah pasar raya hanya untuk melihat-lihat. Pengawal keselamatan berbangsa Nepal di pasar raya itu membenarkan aku masuk kerana pada hari itu diri ini kelihatan kemas dan wangi. Pandangan mata terus menangkap ke suatu bahagian yang menjual pakaian lelaki. Baju-baju digantung kemas, cantik sekali pada pandangan mata, terfikir bagaimana agaknya jika tubuh ini memakai pakaian tersebut. Tapi setelah melihat tanda harga di baju-baju tersebut terus mematikan khayalan tadi seperti tidur lena yang terganggu apabila bantal direntap dari kepala. Gamaknya bagaimana manusia lain mampu membeli pakaian yang sebegitu mahal? Kemudian belum sempat aku menemui jawapannya pengawal keselamatan menyuruhku keluar dari pasar raya tersebut. Katanya tuan pengurus bimbang kalau-kalau aku mencuri pakaian tersebut. Aku cuma mampu gelengkan kepala bersama senyuman kelat. Manusia menilai berdasarkan paras rupa dan malangnya diri ini berada di kedudukan terbawah penilaian manusia. Mungkin aku harus berpijak pada bumi yang nyata bahawa orang seperti aku hanya layak membeli baju yang dijual di pasar malam itupun jika berduit kerana dalam sistem kapitalis, duit adalah segala-galanya. Apalah guna bermimpi hingga ke bulan jika poket yang diseluk hanya kosong semata-mata.
Aku sebenarnya bertuah jika dibandingkan dengan kelompok manusia yang sama sepertiku. Mereka hidup terbiar di jalanan, tidur beralas kotak berbumbungkan langit berbantalkan lengan. Kalau nasib tidak baik mereka akan kebasahan dek kerana hujan yang turun tatkala diri diulit mimpi. Aku tidak seperti mereka. Tempat tinggal aku lebih selesa. Ada sedikit ruang privasi. Mungkin. Sejak kedatangan ku ke ibu kota beberapa minggu lepas disitulah tempat merehatkan diri. Perkarangan masjid, tempat aku bermusafir, menjahit mimpi-mimpi dalam kesunyian malam. Oleh kerana Imam di masjid itu mengenali aku kerana sering melihatku solat berjemaah disitu, dia berikan keizinan untuk aku bermalam di situ dengan syarat tertentu. Aku merasakan syarat itu bukanlah sukar untuk dipenuhi, sekadar menjaga kebersihan masjid khususnya tandas masjid. Cumanya keistimewaan yang aku perolehi itu entah sampai bila akan dinikmati.
Niat asal aku datang ke ibu kota adalah untuk mencari pekerjaan. Namun nasib tidak baik, duitku telah dicuri oleh beberapa orang "mat gian". Malah beg pakaian aku juga dikebas sekali oleh mereka. Yang ada hanya beg yang aku galas berisi sijil tamat persekolahan menengah rendah. Di ibu kota, dengan kelayakkan sedemikian belum tentu diterima untuk bekerja. Namun memandangkan perut perlu juga diisi, aku mengambil upah cuci pinggan di gerai makan pada waktu malam. Upah tidak seberapa tapi mencukupi untuk membeli makanan. Malang memang sentiasa tidak berbau. Tiga hari lepas, duit yang aku kumpul hasil upah cuci pinggan telah dicuri oleh seseorang tatkala aku tidur di perkarangan masjid. Benarlah pada zaman ini pencuri tidak memilih tempat, dimana sahaja ada peluang disitu mereka datang tanpa perlu diundang. Mungkin juga pada zaman kini pencuri tidak lagi berpakaian selekeh bahkan boleh jadi mencuri itu suatu "kerjaya" yang tidak diiktiraf disisi Tuhan tetapi menjadi kemegahan disisi manusia.
Jam enam petang. Perut aku mula berkeroncong. Kali terakhir aku makan lebih kurang jam 8 pagi tadi. Itupun sebungkus bihun goreng dan air kotak yang disumbangkan oleh sekumpulan anak muda yang seringkali mengagihkan sarapan pagi kepada golongan manusia seperti aku. Sesuatu yang percuma memang tidak pernah aku tolak walaupun kadang-kala terdetik dalam hati untuk menikmati sarapan pagi di restoran mamak atau kopitiam yang berhawa dingin. Rupanya dalam dunia yang mengejar kemewahan, pangkat dan darjat ada juga manusia yang mempunyai hati masih mahu memberi. Ketepikan niat dan keikhlasan mereka kerana itu semua hanya Tuhan yang tahu.
Aku berada di luar restoran makanan segera dengan tangan di perut dan mata yang melilau memerhati gelagat manusia. Pada waktu-waktu begini ramai sekali manusia yang makan disitu. Kocek seluar yang tiada apa-apa melainkan habuk kain sahaja ku seluk.  Berkatalah dalam hati, "Entah bila aku dapat makan disini". Tanpa sedar aku sedang  menelan air liur. Kadang-kala aku berdiri di hadapan restoran makanan segera itu dengan membayangkan diri ini sedang memesan makanan, kemudian duduk di bangku bersebelahan cermin restoran dan menikmati makanan itu dengan penuh nikmat. Tapi apabila tersedar dari imaginasi itu terus aku tersengih sendiri, dan berkata dalam hati, "belum rezeki.". Jika masih tidur berbantalkan lengan jangan bermimpi mahu mencapai bintang, begitulah hendaknya. Aku hanya mampu mengeluh dan itu sedikit pun tidak mendamaikan perut yang lapar.
Hari ini sudah sebulan aku menjalani hidup seperti sekelompok manusia di ibu kota yang nasib mereka saling tak tumpah seperti aku. Terdetik di hati, aku tidak mahu terus hidup sebegitu rupa. Bumi yang Tuhan ciptakan ini cukup luas untuk hambanya mencari rezeki. Itulah yang selalu aku dengar di masjid. Aku mencari keberkatan hidup tapi adakah dengan apa yang berlaku pada aku ini dikira berkat? Soalan yang tidak menemui jawapannya atau lebih tepat tidak dicari jawapannya.
Sebenarnya aku sedang menghabiskan masa siang menanti kehadiran malam. Gerai makan tempat aku mengambil upah mencuci pinggan hanya memulakan perniagaan pada jam 7 malam sehingga 1 pagi. Jadi sambil-sambil menanti waktu itu tiba, disitulah tempat ku. Perhentian bas. Aku duduk disitu bukan kerana menunggu bas sepertimana manusia lain yang berkira-kira mahu pulang ke rumah selepas seharian bekerja.
Aku keluarkan sesuatu dari dalam beg yang setia ku galas. Sebuah balang plastik yang tiada berisi, kosong.  "Kau pegang balang itu seolah-olah ia terisi dengan sesuatu yang bernilai" Aku bermonolog sendiri.
Kemudian datang seorang lelaki dalam usia awal 40an. Melihat pada paras rupanya seperti seorang pengemis. Ya. Aku sangat kenal dengannya. Itulah pengemis yang selalu aku jumpa duduk bersila meminta wang namun dek kerana poket seluar ku hanya ada habuk kain, maka hanya senyuman yang mampu ku sedekahkan buat dia.
"Sudah mahu pulang?" Aku bertanya kepada pengemis itu. Dia tersenyum, menampakkan giginya yang kuning.
"Rezeki setakat ini sahaja. Esok sambung lagi. Balang itu kau mahu guna untuk minta sedekah juga?" Dia bertanya semula kepada aku.
Aku tersenyum. "Tidak. Balang ini nanti aku mahu isi dengan duit yang halal, hasil usaha aku. Kemudian bila sudah cukup, aku mahu bersedekah pada orang seperti kau."
"Bukankah semua orang mengumpul duit untuk diri sendiri bukan untuk disedekahkan pada orang lain?" Pengemis itu membalas kata-kata ku dengan selamba.
"Selagi ada yang mengemis, selagi itu ada yang bersedekah, bukan?" Aku bertanya semula kepada dia.
"Setuju!. Aku suka jawapan kau yang penuh keyakinan.  Aku doakan kau dapat penuhkan balang itu dengan wang bermacam warna, kemudian sedekahkan sedikit pada aku." Dia menjawab diiringi dengan ketawa kecil.
Aku sendiri tidak pasti mengapa lelaki itu memilih untuk menjadi seorang pengemis. Adakah dia sudah putus asa dengan desakan hidup atau sekadar mengikut ketentuan takdir yang sebenarnya boleh diubah jika diiringi dengan azam dan usaha. Ah, bukan hal aku untuk berfikir sejauh itu sedangkan nasib sendiri pun tidak tahu untung ruginya nanti. Senja kian menghampiri dan aku mula beredar dari perhentian bas itu membawa bersama balang kosong yang berisi harapan ku pegang erat. Langkah kaki ku atur, dan berbisiklah sendirian di dalam hati, "aku bukan pengemis".