Pengenalan

Peace Be Upon You...In The Name of Allah, Most Gracious Most Merciful.

Selasa, April 13, 2021

Ramadan 2021

Salam Ramadan tahun 2021.

Syukur ke hadrat Ilahi kerana memanjangkan usia saya dan anda untuk menemui bulan Ramadan tahun ini. Moga amalan ibadah kebaikan kita diterima Allah, mudah-mudahan kita menjadi hambaNYA yang Bertaqwa. 

Ramadan tahun ini adalah kali pertama saya lalui tanpa Mak. Tiada lagi permintaan saya untuk Mak mendoakan saya pada sepanjang bulan Ramadan. Bahkan tiada lagi peluang untuk saya bertanyakan pada dirinya apa yang ingin dia makan ketika berbuka. 

Masih saya ingat ketika saya kecil, Mak adalah orang yang paling sibuk sepanjang bulan Puasa. Walaupun bekerja, Mak masih boleh masak untuk kami bagi juadah berbuka puasa serta bersahur. Ketika anak-anak tidur, Mak akan bangun awal untuk masak juadah sahur. Apa yang dilakukan Mak, memang sukar untuk saya ikuti. Allahuakbar, bila saya kenang semula, itulah nikmat yang Allah berikan untuk kami. 

Untuk mereka yang mempunyai Mak atau apa jua panggilan untuk wanita yang mulia ini, hargailah mereka. Bertuahlah kalian masih punya Mak/Ibu untuk berbakti. 

Walaupun Mak sudah tiada, namun doa saya untuknya tidak pernah putus selagi saya bernafas di dunia ini.

Semoga pertemuan kami 'nanti' adalah di Syurga. 

Ya Allah, ampunkan dosa-dosa Mak kami ya Allah, Rahmatilah dia, Sejahterakanlah dia, Peliharalah dia dari azab kubur dan api neraka, Tempatkanlah dia di kalangan hambaMU yang beriman, kurniakanlah dia SyurgaMu ya Allah. 



illifadli - Rindu.