Pengenalan

Peace Be Upon You...In The Name of Allah, Most Gracious Most Merciful.

Khamis, April 08, 2021

Rindu Mak

Sejahtera.

Ketika saya berada di hadapan pintu wad, dan doktor yang bertugas memberitahu bahawa Mak saya sudah tiada, saya menerima dengan hati yang tabah.

Saya orang pertama dalam keluarga yang masuk ke dalam bilik mayat untuk melihat jenazah Mak. Tidak ada setitis air mata yang keluar mengalir ke pipi saya. Bahkan sempat saya menenangkan kakak dan abang saya, bersabar, itu kata saya pada mereka.

Namun, pada hari Mak dikebumikan, air mata saya yang tertahan sebelum itu mengalir juga. Saya rindu pada Mak. Saya rindu. Sejak 2007 (bila saya pulang dari Perak) saya adalah orang yang setiap hari bersama Mak.

Ketika mak disahkan menghidap kegagalan buah pinggang peringkat awal pada 2013 sayalah yang bersama dia di dalam wad.

Ketika mak masuk wad pada tahun 2017, saya juga yang bersama dia mengharungi detik sukar. 

Ketika saya memberitahu doktor bahawa saya akan mengambil sepenuh tanggungjawab untuk melakukan Peritoneal Dialisis - CAPD untuk mak, apa yang berada di fikiran saya hanya satu. Saya mahu mak berada bersama saya.

Allah, sejak mak menjalani rawatan dialisis CAPD, saya mengambil semua tanggungjawabnya. Memasak, membasuh baju dan ke Pasar beli ikan. Saya yang tak reti masak ini menjadi seperti seorang Profesional bila di dapur.

Ya, ada masa saya letih. Tetapi entah dari mana kekuatan yang ada dalam diri ini, yang membuat saya kuat selama bertahun-tahun.

Pada 7hb April 2021, Mak pergi meninggalkan saya selamanya. Ketika saya masuk ke liang lahad untuk meletakkan jenazah mak, saya sebak namun air mata masih tertahan. Wajah mak seperti hari biasanya ketika tidur. 

Saya rindu mak. Saya rindu mak. Allah telah mengambil seseorang yang paling saya sayang dalam hidup ini. Tiada lagi doa mak untuk saya. Tiada lagi permintaan mak untuk minta saya orderkan Soto untuk dia. Tiada lagi peluang untuk saya berbakti pada Mak.

Ya Allah, Kau ampunkan dosa Mak dan Kau tempatkan dia di Syurga bersama hambaMU yang beriman. Kau terangilah kuburnya, kau luaskan kuburnya, dan kau mudahkan urusannya di sana.

Ya Allah, izinkan saya bertemu semula Mak kelak di sana.

Allahuakbar, kuatkan diri saya.